
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah bertemu sejumlah pemimpin dipercayai bagi mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan spekulasi peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri esok.
Ia termasuk pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan sokongannya
dalam usaha meraih majoriti menjadi Perdana Menteri sekiranya peletakkan jawatan Muhyiddin diperkenan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut laporan beberapa media, Ismail Sabri telah menemui Ahmad Zahid.
Bagaimanapun, Malaysiapost difahamkan tiada sebarang pertemuan di Ibu Pejabat Umno di World Trade Centre, Kuala Lumpur.
Kem Ismail Sabri sebelum ini berusaha meyakinkan kem Ahmad Zahid agar kembali kepada PN dengan Ismail sebagai pemimpinnya.
Menurut mereka, ia konsisten dengan desakan kem Ahmad Zahid bahawa Umno yang patut memimpin kerajaan.
Ismail Sabri dikatakan hanya memerlukan 11 daripada 15 ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadap Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin pada 2 Ogos lalu.
Ketika ini PN dipercayai memiliki sokongan 100 ahli Parlimen dan perlu 11 lagi untuk mendapat majoriti mudah.
Terdahulu, media melaporkan yang Ismail Sabri turut bertemu dengan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin di Hotel Royale Chulan di Kuala Lumpur. – Malaysiapost
