Nasi Kandar Hameediyah imbau nostalgia tahun 1900-an

0
2

PENGUSAHA Restoran Nasi Kandar Hameediyah di Jalan Campbell di George Town, mengembalikan nostalgia kaedah tradisional penjualan nasi kandar dengan menampilkan dua pekerja membawa makanan dengan cara mengandar, semalam.

Tukang kandar lelaki berpakaian ala India Muslim dengan berkain pelikat, memakai kemeja-T berwarna putih dan bersongkok itu dilihat cuba mengimbau kembali suasana sekitar tahun 1900-an sambil memikul barang jualan.

Ia merupakan gimik ketika restoran itu menghulurkan 250 bungkus nasi kandar percuma kepada orang ramai dan golongan kurang berkemampuan di sekitar bandar raya itu.

Pemilik restoran, Ahamed Seeni Pakir Abdul Syukur berkata pihaknya mengambil inisiatif itu bagi menunjukkan kepada orang ramai bagaimana nasi kandar dijual pada zaman dahulu sehingga ia turut mendapat nama daripada kaedah tersebut.

“Bagitulah cara moyang saya menjual nasi kandar ketika awal perniagaan pada 1907 dengan mengandar dua periuk yang disangkut pada sebatang kayu panjang untuk dijual di padang.

“Namun, kaedah itu tidak digunakan lagi selepas perniagaan dibuat sepenuhnya di dalam kedai kira-kira 20 tahun kemudian,” katanya memetik Kosmo Online.

Sementara itu, Ahamed Seeni Pakir berkata pihaknya memahami ramai yang terjejas ketika pandemik ini, justeru terpanggil mengambil inisiatif tersebut bagi menghulurkan bantuan.

“Bukan saja hari ini, tetapi setiap hari kita tetap membantu mereka,” katanya yang juga generasi ketujuh perusahaan itu.

Restoran berkenaan merupakan salah satu ikon pelancongan Pulau Pinang apabila dinobatkan restoran nasi kandar tertua di negara ini yang berusia 114 tahun oleh Malaysia Book of Records (MBR). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here