PERUTUSAN Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam jelas cuba merekayasa watak “innocent” atau tidak bersalah kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia juga menunjukkan kerajaan yang gagal mengurus pandemik sehingga menyebabkan 12,000 nyawa terkorban cuba dipertontonkan sebagai “victim” atau mangsa.
“Cuba mengubah keseluruhan plot cerita daripada kegagalan kerajaan PN kepada kerajaan PN konon jadi mangsa politik.
“Dengan alasan itu kemudian cuba menghalalkan “habuan” bersyarat kepada ramai pihak supaya mengekalkan PN sebagai kerajaan Persekutuan.
“Ini perbuatan yang sangat tidak bermoral dan berakhlak oleh sebuah kerajaan Malaysia,” kata Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau menambah, kerajaan juga cuba menakut-nakutkan rakyat kononnya program vaksinasi tidak akan berjalan lancar tanpa mereka memegang kuasa.
Sebaliknya Ahmad Zahid berkata, program vaksinasi tidak lancar sejak ia bermula dan kerana itu sehingga hari ini imuniti kelompok masih belum dapat dicapai.
“Seterusnya cuba menyelamatkan kedudukan dengan propaganda kini semua pihak perlu bekerjasama melawan Covid-19 iaitu di saat kerajaan PN sudah tiada sokongan majoriti.
“Realitinya terlalu banyak cadangan demi rakyat dan negara diketengahkan ramai pihak sebelum ini tidak dipedulikan. Betapa angkuh dan sombong.
“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang dibentuk bersama wakil parti bukan kerajaan pun sekadar wayang apabila keputusan membatalkan Ordinan Darurat tanpa diketahui jawatankuasa itu,” katanya lagi.
Beliau berkata, hakikatnya “victim” sebenar adalah hampir 12,000 nyawa mereka yang tidak bersalah telah terkorban angkara kegagalan membendung Covid-19.
“Mereka yang ditekan kerana mempersoal dan cuba memperbaiki kegagalan itu adalah pihak yang sebenarnya “innocent”.
Spin terbaru kerajaan PN semalam memang hebat.
“Mungkin ada kaitan dengan pelantikan penasihat baharu bertaraf menteri,” katanya lagi. – Malaysiapost

