AHLI Parlimen pembangkang menyifatkan tawaran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada mereka sebagai tindakan ‘merasuah menerusi televisyen’.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berkata Muhyiddin jelas menggambarkan beliau sudah kehilangan majoriti sokongan di Dewan Rakyat sehingga terdesak menawarkan pelbagai insentif untuk kekal berkuasa.
Katanya, kenyataan secara terbuka Muhyiddin itu dapat disaksikan oleh rakyat cubaan ‘rasuah menerusi siaran TV’.
Pengarah Komunikasi PKR itu berkata, dengan kehilangan majoriti itu, Muhyiddin sepatutnya meletak jawatan dan tidak wajar menawarkan apa pun kepada sesiapa kerana jelas beliau telah hilang majoriti.
“Artikel 43(4) Perlembagaan Persekutuan amat jelas, iaitu Perdana Menteri hanya mempunyai dua pilihan sekiranya hilang majoriti, iaitu meletak jawatan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
“Apa yang beliau lakukan (membuat pelbagai tawaran) tidak selaras dengan Perlembagaan, kerana dia tidak berhak untuk membuat keputusan bagi pihak Agong. Kenyataannya jelas mencabar kuasa-kuasa Agong yang diperuntukkan dalam Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking turut membidas tawaran dibuat Muhyiddin dan menyifatkan ia adalah urutan tawaran dan ganjaran yang dibuat kepada Ahli Parlimen sebelum ini yang terdesak untuk terus berkuasa.
“Apa yang disaksikan rakyat seolah-olah siaran langsung rasuah dan ‘Scheme of Things 2.0,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim menolak alasan Muhyiddin untuk tidak meletak jawatan sebagai satu-satunya cara memastikan pemimpin kleptokrat tidak mengambil alih.
“Selama lebih setahun, mereka sendiri memerintah dengan bantuan kleptokrat dan menyalahgunakan kuasa sehingga rakyat menderita, sekarang alasan kleptokrat digunakan untuk mengekalkan kuasa,” katanya.
Dalam ucapan khasnya hari ini, Muhyiddin menyatakan bahawa Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.
Beliau menjelaskan bahawa perkara itu dibuat sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat. – Malaysiapost

