Azlee Senario buang rasa malu, tolak tepi status artis demi kelangsungan hidup

0
1
azlee scenario

“SAYA buang malu saya… tolak ke tepi sebagai artis demi mencari rezeki halal untuk kelangsungan hidup selepas terkesan akibat Covid-19,” kata pelakon dan pelawak terkenal, Azlee Senario.

Pemilik nama sebenar Mohd Azlee Jaafar itu kini berniaga di gerai menjual buah-buahan dan makanan laut di tapak pasar malam Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh sejak Jun lalu.

Menurut pelakon berusia 54 tahun itu, sejak wabak Covid-19 melanda negara aktiviti anak seni antara yang terjejas termasuk tidak boleh membuat penggambaran filem atau drama.

“Saya sendiri hampir lima bulan tidak boleh bekerja dan melaksanakan pelbagai program yang dirancang terutama membabitkan kumpulan Senario.

“Senario sebenarnya banyak perancagan yang sudah diatur termasuk filem arahan Aziz M Osman yang sepatutnya sudah dalam penggambaran ketika ini, begitu juga Akademi Senario dan konsert 25 tahun Senario yang dijadualkan November ini.

“Kami ada telemovie dan sitkom Senario namun semuanya terpaksa ditunda akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui Malaysiapost di gerainya.

Azlee berkata, dia sendiri mendapat pelbagai tawaran untuk drama dan program yang dijadualkan untuk siaran tahun ini, namun masih tiada kepastian sama ada akan diteruskan atau sebaliknya.

“Kalau anda lihat sendiri di rumah saya ada skrip drama 20 episod arahan Darling Ngasri, selain program Maharaja Lawak Mega bersama Acong dan Ieda Moin dengan nama kumpulan kami Otai.

“Ini semua tidak tahu lagi apa nasibnya boleh atau tidak, namun kita doakan mudah-mudahan Covid-19 cepat berakhir,” katanya.

Ditanya mengenai pandangan daripada peminatnya atau rakan artis lain dengan apa yang dilakukannya sekarang, beliau bersyukur kerana ramai memahami serta memberi sokongan.

“Ada juga netizen yang kecam, kutuk kata masa tengah top tak ingat dunia sekarang dah susah baru nak sedar. Itu semua saya anggap sebagai cabaran.

“Namun ramai peminat dan rakan artis lain yang beri sokongan serta bantu menularkan usaha saya ini dalam mencari rezeki selepas terkesan akibat Covid-19,” katanya.

Menurutnya, dia tidak malu berniaga di tepi jalan kerana sejak kecil lagi sudah membantu arwah ibunya berniaga kedai makan selain pernah bekerja di pasar besar Larkin, Johor.

Azlee berkata, bukan sahaja golongan anak seni terkesan terutama mereka yang bertugas di belakang tabir seperti kru perfileman, penulis skrip dan ramai lagi, namun boleh dikatakan seluruh rakyat Malaysia kini terjejas.

“Kita harus tabah dalam menghadapi cabaran ini dan berdoa agar wabak ini berakhir supaya kita semua boleh kembali mencari rezeki seperti dulu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here