PULUHAN ribu mesyuarat empat peringkat cawangan yang perlu dijalankan serentak melibatkan 3.3 juta ahli Umno adalah antara sebab parti itu memohon pemilihan ditangguhkan.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan pada masa sama terdapat 764 lagi mesyuarat empat peringkat bahagian di seluruh negara.
Katanya, kehadiran ratusan ribu perwakilan secara serentak tidak sesuai dilaksanakan ketika ini dan ia menjadi punca Umno meminta pemilihan parti ditangguhkan.
“Selain 66,287 mesyuarat empat peringkat di cawangan melibatkan 3.3 juta ahli Umno, terdapat empat peringkat lagi mesyuarat di bahagian melibatkan 764 mesyuarat Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian.
“Semua ini mesti dijalankan serentak dengan kehadiran ratusan ribu perwakilan. Itu satu ssebab lagi Umno minta tangguh (pemilihan),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Kelmarin, Ahmad mengadakan pertemuan bersama Pendaftar Pertubuhan, Jasri Kasim di Putrajaya.
Ia susulan kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS)sebelum ini bahawa keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menangguhkan Pemilihan MKT, Bahagian dan Cawangan selama 18 bulan adalah tidak sah.
RoS menyatakan keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan partinya tidak sah disebabkan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun lalu berdasarkan minit Mesyuarat MKT pada 7 Julai 2021.
Bagaimanapun, Ahmad dalam sidang medianya Sabtu lalu berkata Umno menegaskan bahawa berdasarkan rentetan kronologi surat menyurat antara RoS dan parti itu, maka telah wujud satu harapan yang sah (legitimate expectation) oleh Umno ke atas pihak RoS untuk memperakukan penangguhan pemilihan parti. – Malaysiapost

