Persatuan dalaman UiTM gesa pelantikan Naib Canselor

0
1
logo uitm

KESATUAN dan persatuan dalaman Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyelesaikan isu pelantikan Naib Canselor Universiti berkenaan yang tertangguh sebelum ini.

Menerusi kenyataan bersama hari ini, memaklumkan jawatan Naib Canselor UiTM yang telah kosong sejak Mac dan diberitakan bahawa Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa , Prof. Dr. Roziah Mohd Janor telah dilantik mengisi kekosongan itu menerusi satu surat bertarikh 2 Ogos.

Bagaimanapun menurut kenyataan yang mewakili tiga presiden persatuan iaitu Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (MITASA), Persatuan Kakitangan Akademik UiTM (UTiMAS) dan Kesatuan Kakitangan Umum UiTM (KKUUiTM) mendakwa Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi telah mengeluarkan surat penangguhan pelantikan itu pada 7 Ogos lalu.

“Kami berharap agar KPT serta JPT dapat menyelesaikan isu pelantikan Naib Canselor UiTM yang baharu dengan kadar segera.

“Kami berpandangan bahawa penangguhan pelantikan Naib Canselor seperti yang telah dinyatakan oleh Ketua Pengarah JPT bertarikh 7 Ogos 2021 dan telah disiarkan oleh akhbar tempatan telah sedikit sebanyak menimbulkan persepsi negatif di kalangan anggota masyarakat,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pihak mereka menegaskan tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap mana-mana calon yang telah memohon jawatan itu atau yang telah disenarai pendek oleh Jawatankuasa Pemilihan.

“Namun kami percaya pemilihan Pof. Dr Roziah Mohd Janor telah melalui proses saringan dan temuduga serta telah mematuhi kriteria yang telah ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan.

“Kami juga ingin tegaskan di sini bahawa pihak kami tidak pernah mengeluarkan sebarang surat atau kenyataan membantah pelantikan tersebut memandangkan kami sendiri tidak dimaklumkan secara langsung siapa yang terpilih untuk menjawat jawatan tersebut.

“Kami juga konsisten bahawa pelantikan Naib Canselor harus dibuat secara telus dan tidak dipengaruhi unsur-unsur negatif yang boleh mendatangkan kesan tidak baik terhadap imej UiTM sebagai institusi pendidikan tersohor,” katanya.

Kenyataan bersama itu juga mendakwa telah menghantar sepucuk surat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyampaikan pandangan serta cadangan bagaimana isu ini dapat diselesaikan dan tidak berpanjangan.

“Kami berharap UiTM dapat terus menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah institusi penting untuk Bumiputera tanpa dipengaruhi sebarang pengaruh politik kepartian.

“Sekali lagi kami berharap isu ini dapat diselesaikan seberapa segera dan pihak kami bersedia pada bila-bila masa untuk menyumbang idea dan tenaga sekiranya dirasakan perlu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here