AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha produk ‘ubat kuat’ yang mengeskploitasikan gambarnya di media sosial.
Wakil rakyat DAP itu menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menggunakan gambarnya untuk tujuan tertentu tanpa kebenarannya.
“Gambar saya ini telah digunakan tanpa kebenaran saya. Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun ini. Saya juga memohon kepada semua untuk melaporkan akaun dan post ini.
“Saya juga ingin tegaskan di sini saya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang menggunakan gambar saya tanpa kebenaran saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Young Syefura yang mesra dengan panggilan Rara turut memuat naik gambar poster yang mengaibkan dirinya untuk melariskan jualan produk ubat kuat di Facebook.
Poster itu dipercayai ditularkan di media sosial oleh pemilik akaun tersebut dengan tertera kepsyen 3 tahun suami derita pucuk berakhir. – Malaysiapost

