Covid-19: Brunei laksana semula kawalan pergerakan

0
1

KERAJAAN Brunei melaksanakan semula kawalan pergerakan diperketatkan serta-merta hingga 21 Ogos 2021, berikutan pengesanan kes Covid-19 baharu dalam tempoh 15 bulan di negara itu.

Memetik portal Pelita Brunei, langkah itu menjunjung titah perkenan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Awang Md Isham Jaafar berkata, langkah-langkah pengawalan termasuk tidak membenarkan sebarang perkumpulan ramai.

Bagaimanapun, jelas beliau, pengecualian adalah dibenarkan, iaitu bagi perkumpulan seramai 15 orang untuk pengurusan jenazah bukan Covid-19.

“Manakala perkumpulan seramai lima orang untuk majlis akad nikah dan bagi orang tua yang tinggal berasingan dari ahli keluarga lain, hanya dua orang ahli keluarga sahaja dibenarkan untuk melawat orang tua mereka pada satu-satu masa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi aktiviti riadah seperti joging dan mendaki dibenarkan secara individu tanpa perlu memakai pelitup muka.

“Manakala riadah berkumpulan adalah dibenarkan bagi dua orang yang tinggal serumah sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua pegawai dan kakitangan, sama ada kerajaan atau swasta dikehendaki melakukan kerja dari rumah.

“Hanya petugas-petugas yang benar-benar diperlukan sahaja yang dibenarkan keluar ke tempat kerja, merangkumi petugas barisan hadapan dari sektor kesihatan, sektor keselamatan, sektor perhotelan, sektor pengangkutan, sektor keperluan harian (makanan, perniagaan runcit).

“Selain, sektor kemudahan dan utiliti (elektrik, air, telekomunikasi), petugas di sempadan dan pintu-pintu masuk ke Brunei Darussalam, sektor minyak dan gas dan hiliran, sektor pembinaan, sektor agrimakanan dan perhutanan.

“Keluar rumah tanpa tujuan yang mustahak adalah tidak dibenarkan dan hanya dua orang dari satu keluarga sahaja dibenarkan keluar rumah untuk membeli barang keperluan harian,” katanya. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here