POLIS menahan dua lagi lelaki di Alor Setar yang didakwa menghina Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menerusi laman sosial Facebook, baru-baru ini.
Kedua-dua individu berkenaan yang berusia 52 dan 45 tahun itu ditahan di kediaman masing-masing di Kepala Batas dan Mergong Perdana, Alor Setar, Kedah.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memaklumkan, seorang Pegawai Khas Menteri Besar telah membuat laporan polis berhubung komen negatif dan jelek di Facebook milik pemimpin itu.
“Laporan itu dibuat di Balai Polis Alor Setar pada jam 10.30 pagi semalam dan polis telah menahan dua lelaki tersebut untuk membantu siasatan pada jam 5.15 petang dan 6 petang untuk membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu yang merupakan pekerja swasta dan peniaga diberi jaminan polis selepas keterangan mereka diambil semalam.
“Semakan mendapati kedua-dua individu berkenaan tidak memiliki rekod jenayah.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, seorang warga emas ditahan Lenggeng, Negeri Sembilan semalam kerana didakwa mengaibkan Muhammad Sanusi dengan mengeluarkan kata-kata kesat menerusi satu video dimuat naik di Facebook, kelmarin.- Malaysiapost

