PENDAKWAH dermawan, Ebit Lew mendedahkan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pernah meluahkan hasrat untuk membayar sewa beberapa kediaman orang miskin.
Ebit yang mendedahkan perkara itu Instagram Story berkata, ketika hayatnya, Siti Sarah pernah memberitahunya untuk melakukan lebih banyak kerja-kerja amal membantu golongan yang kurang berkemampuan.
“Ya Allah sedihnya rasa. Insya-Allah, Shuib, Siti Sarah dan anak-anak semuanya akan bersama kembali dalam syurga Firdaus.
“Siti Sarah banyak kali tanya kepada saya ingin bayarkan sewa beberapa rumah orang miskin yang saya uruskan dan anak yatim yang saya bantu sekolahkan. Semoga Allah beri Syurga Firdaus kepadanya.
“Sabar ya Shuib, Allah sayang. Insya-Allah,” kata Ebit.
Ebit turut mendoakan agar urusan Allahyarham bertemu dengan Ilahi dipermudahkan.
Hari ini negara dikejutkan dengan berita pemergian Siti Sarah yang menghembuskan nafas terakhir jam 5.13 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Berita duka itu disampaikan pihak pengurusan penyanyi tersebut, Indigital Music dan disahkan suaminya sendiri, Shuib.
Siti Sarah meninggal dunia selepas beberapa hari bertarung nyawa melawan virus Covid-19. – Malaysiapost

