Undi percaya tidak perlu tunggu September – Kit Siang

0
1

VETERAN DAP Lim Kit Siang berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh menunggu sehingga September semata-mata untuk membuktikan kepercayaan majoriti Ahli Parlimen kepada kerajaan pimpinannya.

Beliau berkata, Perdana Menteri tidak perlu menunggu September untuk tujuan itu sebaliknya beliau boleh memanggil Parlimen bersidang segera untuk tujuan berkenaan.

“Muhyiddin tidak boleh menunggu hingga bulan September untuk membuktikan bahawa beliau masih mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen kerana jelas bahawa beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.

“Parlimen harus bersidang segera pada bulan Ogos dengan satu agenda sahaja — untuk membuktikan kepercayaan majoriti Ahli Parlimen kepada kerajaan Muhyiddin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, Muhyiddin perlu meletakkan jawatan selepas hari yang terburuk dalam sejarah wabak Covid-19 Malaysia selama 20 bulan semalam, dengan jumlah kes harian, kematian, kemasukan ICU dan kes aktif yang tertinggi.

Katanya, semalam, Malaysia mencatat rekod baharu dengan 19,819 kes harian Covid-19 dengan 257 kematian serta 1,069 orang dimasukkan ke unit rawatan rapi selain 210,000 kes aktif.

“Malaysia mengambil masa 10 bulan untuk mencapai 19,627 kes Covid-19 pertama pada 27 Oktober dan 251 kematian pertama Covid-19 pada 2 November (lalu), tetapi semalam Malaysia melepasi angka suram ini dalam satu hari,” katanya.

Beliau berkata, perang Muhyiddin terhadap wabak Covid-19 ini telah gagal sepenuhnya – sama ada darurat enam bulan yang menyaksikan kes Covid-19 meningkat lima kali ganda dan kematian Covid-19 yang meningkat sebanyak 16 kali mahupun Pelan Pemulihan Nasional.

“Kita sepatutnya beralih ke Fasa 3 pada bulan September dan Oktober dengan salah satu daripada tiga nilai ambang adalah kurang dari 2,000 kes Covid-19 sehari.

“Tetapi kita berada di arah yang berlawanan dengan sepuluh kali ganda dan akan memecahkan angka 20,000 untuk kes baru setiap hari, dengan ramalan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr) Noor Hisham Abdullah mengenai 24,000 kes harian pada pertengahan September yang mungkin boleh dikira sebagai agak konservatif,” katanya.

Beliau berkata, kejatuhan Malaysia untuk menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk dalam wabak Covid-19 dapat dilihat dengan jelas dalam Carta Ketahanan Bloomberg.

“Ia menyaksikan Malaysia menjunam dari tempat ke-16 pada bulan Januari ke tempat ke-51 pada bulan Jun dan ke ke-52 pada bulan Julai daripada 53 ekonomi diukur dalam kategori ekonomi yang lebih dari AS$ 200 bilion,” katanya.

Kit Siang berkata, semalam, Malaysia berada di tempat ke-10 dunia dari segi kes Covid-19 baru setiap hari dan kematian Covid-19 baru setiap hari.

Semalam, Muhyiddin menegaskan bahawa keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here