MCA kekal sokong Kerajaan PN

0
1

MCA kekal untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga pilihan raya umum akan datang, sekali gus melaksanakan resolusi Barisan Nasional (BN) yang telah ditetapkan sebelum ini.

Biro Politik MCA dalam satu kenyataan berkata, ia adalah pendirian BN sejak tahun lalu dan MCA mempunyai kewajipan untuk mempertahankannya.

“MCA adalah parti komponen BN dan telah mengulangi ketetapan bersama BN pada perhimpunan agung pada tahun ini.

“MCA juga berpendapat keputusan Perdana Menteri mengusulkan undi percaya terhadap dirinya yang telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat pada September ini adalah langkah tepat berdasarkan prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” menurut kenyataan itu.

Biro Politik MCA menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat yang diadakan pada malam tadi.

“Hakikat dan realiti sekarang jelas, tiada satu pun atau gabungan parti yang boleh membentuk sebuah kerajaan stabil.

“Maka jika kerajaan PN dijatuhkan sekarang, ia hanya akan mengheret negara ke dalam krisis politik yang tidak berkesudahan dan pastinya ia memudaratkan rakyat serta negara.

“Negara kini sedang berdepan pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi kian merudum serta kestabilan politik adalah penting dalam melindungi nyawa dan kehidupan rakyat,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, MCA juga yakin sudah waktunya bagi kerajaan untuk membuka kembali sektor ekonomi secara berperingkat memandangkan kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

“MCA juga berpendapat bahawa sudah tiba masanya kerajaan membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat, memandangkan program vaksinasi telah berjaya dilaksanakan dengan pantas kebelakangan ini dan dilihat semakin berjaya mencapai matlamat yang disasarkan.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sekarang agak kurang berkesan untuk mengurangkan jumlah kes jangkitan.

“PKP yang berterusan ini akan terus meningkatkan kesengsaraan rakyat yang berhadapan dengan kesukaran mencari rezeki. Vaksinasi rakyat secara menyeluruh merupakan jalan terbaik bagi negara sekarang ini,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here