NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Boustead Holdings Berhad berkuatkuasa esok.
Beliau berkata, ia selari dengan keputusan Umno yang membuat ketetapan untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Ini sebagai mengambil tanggungjawab saya selaku ahli parti yang akan terus akur dan hormat dengan sebarang keputusan serta ketetapan parti.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ahli-ahli lembaga pengarah dan pengurusan Boustead Holdings Berhad yang telah memberi komitmen dan kerjasama sangat baik sepanjang perkhidmatan saya selaku pengerusi kepada syarikat sejak Mei 2020.
“Saya yakin dan percaya syarikat kini berada di landasan tepat untuk terus berperanan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, khususnya memastikan pulangan berterusan kepada pemegang saham utama iaitu tabung persaraan tentera, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” katanya menerusi kenyataan. – Malaysiapost

