JABATAN Kesihatan Kelantan tidak menolak kemungkinan varian Delta yang pada mulanya dikesan di Pasir Puteh, sudah merebak ke daerah lain di Kelantan.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin, kemungkinan tersebut berdasarkan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.
Beliau turut mengaitkan peningkatan kes di Kelantan sejak kebelakangan ini dengan tahap kepatuhan penduduk yang semakin rendah.
“Disebabkan oleh virus berada dalam komuniti dan mungkin juga kita gagal mematuhi SOP yang ada menyebabkan berlaku kluster dalam komuniti, ditambah lagi di Kelantan trend peningkatan kes yang cepat dan meluas.
“Kita jangkakan varian Delta ini bukan sahaja berada di Pasir Suteh tetapi juga di tempat lain,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Zaini berkata, varian berkenaan berkemungkinan sudah merebak ke daerah Tanah Merah dan juga Bachok.
Setakat ini hanya satu kes dikesan manakala 74 sampel ujian lagi belum diperoleh keputusannya.
Sehingga Isnin, lebih 120 kluster aktif dikesan dengan 16 daripadanya adalah kluster baharu termasuk kluster indeks membabitkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang dikesan di Kampung Tok Junuh, Mahligai, Bachok. – Malaysiapost

