Pemuda Umno terus desak kerajaan laksana tuntutan rakyat

0
1

DESAKAN Pemuda Umno terhadap kerajaan berhubung pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membabitkan i-Sinar, i-Lestari dan kini i-Citra, adalah suara rakyat yang sangat terdesak dan terkesan akibat Covid-19.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata walaupun ada pihak meremehkan usaha Pemuda Umno memperjuangkan suara rakyat itu, pihaknya akan berjuang habis-habisan menggunakan pelbagai cara dan saluran bagi membantu rakyat.

Menurutnya, adalah benar wang KWSP adalah duit caruman atau simpanan hari tua rakyat, tetapi apa pilihan lain yang rakyat ada ketika ini untuk meneruskan hidup.

“Hakikatnya, rata-rata yang terdesak adalah golongan B40 dan M40, pendapatan isi-rumah (campur suami isteri) antara RM2,000 hingga RM10,000.

“Mereka tiada pilihan kerana ramai yang dulunya M40, jatuh B40 sebab dibuang kerja, cuti tanpa gaji, perniagaan tak dapat jalan dan lain-lain.

“Komitmen bulanan tetap kena bayar seperti sewa rumah, ansuran pinjaman kereta atau motosikal, kad kredit, pinjaman peribadi dan bil-bil utiliti tertunggak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, rakyat kebanyakannya terpaksa menggunakan simpanan di Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan lain-lain juga sudah hampir kering.

“Harapkan ada sinar bantuan kerajaan melalui suntikan fiskal (duit daripada kantong kerajaan), nampaknya kerajaan hanya diam seribu bahasa.

“Harapkan bantuan Kerajaan, selama ini M40 selalu tertinggal. Bila rakyat bising, baru 28 Jun lalu PM umum RM250 one-off untuk M40. Cukupkah? Ini hanya sekadar melepaskan batuk di tangga!” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, ramai penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), kini ramai yang gagal dalam permohonan terbaru untuk Bantuan Khas Covid (BKC).

Menurutnya, Kerajaan juga ragu-ragu untuk belanja lebih dan tambahkan nilai bantuan kepada rakyat kerana had hutang 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Untuk naikkan kadar keberhutangan kena mengundi di Parlimen. Namun perkataan ‘undian’ sahaja Kerajaan dah fobia.

“Kerajaan juga tidak guna Ordinan Darurat untuk bantu rakyat seperti mengarahkan bank-bank bantu rakyat dengan memberikan pinjaman dengan kadar caj perkhidmatan yang minima atau moratorium tanpa faedah terakru.

Menurutnya, majoriti rakyat yang terdesak dan tertekan, terpaksa desak minta wang sendiri daripada simpanan dan caruman KWSP untuk kelangsungan hidup hari ini.

“Jadi fahamilah kenapa Pemuda Umno terpaksa berjuang habis-habisan menggunakan pelbagai cara dan saluran untuk mendesak dan memasukkannya dalam 10 #TuntutanRakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here