Agong bukan wartawan – Aziz Bari

0
1

Najamuddin Mohd Nor

YANG di-Pertuan Agong bukan wartawan yang perlu bertanya kepada kerajaan, kata pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari.

Beliau menegaskan, ‘nasihat’ di bawah Perlembagaan secara umum merujuk kepada Perkara 40 yang menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memerintah menurut nasihat melainkan dalam perkara terletak pada budi bicara baginda.

“Perlembagaan 40(1) kata kerajaan perlu maklum kepada Agong segala maklumat yang ada.

“Tak timbul istana kena tanya kerajaan. Takkan menteri ini tak tahu Perlembagaan. Sebab itu juga Perdana Menteri kena menghadap Agong sebelum mesyuarat Kabinet.

“Agong bukan wartawan, Istana Negara bukan organisasi media,” katanya kepada Malaysiapost.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa kenyataan Istana Negara berhubung cadangan pembatalan Ordinan Darurat pada 29 Julai lalu adalah “tidak wajar” (not proper).

Ahli Parlimen Ampang itu mendakwa Yang di-Pertuan Agong, yang perlu menurut nasihat Kabinet dalam kebanyakan perkara, boleh mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah.

Beliau berkata demikian dalam rancangan bual bicara bahasa Inggeris, Consider This di Astro Awani.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Aziz berkata, kenyataan Zuraida jelas tidak menghormati Institusi Raja dan melanggar sumpahnya sebagai menteri untuk mempertahankan Perlembagaan.

“Ini jelas tidak hormat. Apatah lagi ia disebut dalam keadaan hubungan istana dan kerajaan tegang sekarang.

“Dalam sumpah jawatan menteri, dia berikrar mempertahankan Perlembagaan. Menteri kerajaan PN (Perikatan Nasional) perlu faham maksud Raja Berperlembagaan. Ia bukan puppet atau rubber stamp.

“Semua maklumat yang ada pada kerajaan perlu disembahkan kepada Agong. Itu dituntut oleh Perlembagaan. Kerajaan tidak boleh sembunyi maklumat. Agong is No 1 person. Memang disebut dalam Perlembagaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here