Polis cari individu hadir majlis kahwin

0
1

POLIS kini menjalankan siasatan berhubung penganjuran majlis perkahwinan di sebuah dewan di Jalan Ampang, yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan D Saralathan, berkata pihaknya menerima laporan semalam berhubung perkara itu susulan penularan gambar majlis berkenaan di aplikasi Instagram sejak semalam.

Menurutnya, hasil semakan polis mendapati gambar majlis perkahwinan yang berlangsung pada 27 Julai lalu dan terdapat individu yang berkumpul tanpa sebarang penjarakan sosial.

“Hasil siasatan lanjut, polis mendapati perkahwinan tersebut telah berlangsung di sebuah bangunan di Jalan Ampang dengan penganjur menyewa dewannya daripada sebuah syarikat pengurusan majlis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saralathan berkata, siasatan pihaknya menjurus kepada pelanggaran SOP kerana gagal mematuhi PKP di bawah Ordinan Darurat (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan.

“Setakat hari ini seorang wanita yang menyewa dan menguruskan dewan berkenaan daripada pemilik bangunan telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

“Kesemua individu lain yang telah terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dikuatkuasakan kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Mohd Mirza Che Ab Wahi di talian 012-9457503 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Salina Zolkopli di talian 011-1234405 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here