
DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyifatkan ‘Perhimpunan Lawan’ di Dataran Merdeka hari ini sebagai retorik politik murahan yang tidak bertanggungjawab.
Ketuanya, Shahir Adnan, berkata karenah pembangkang di Dewan Rakyat selama empat hari tidak hanya berakhir di Parlimen, malah mereka menggunakan anak muda untuk turun ke jalanan mengadakan demonstrasi ketika Covid-19 memuncak.
Katanya, ia jelas dengan kehadiran beberapa pemimpin pembangkang yang turut turun ke jalanan menyertai demonstrasi berkenaan.
“Desakan mahu bicarakan keluh kesah rakyat di jalanan hanyalah retorik politik murahan. Benar bahawa demonstrasi dan perhimpunan adalah hak warganegara untuk memberikan pendapat dan pandangan mereka.
“Namun, setiap orang juga perlu bertanggungjawab ketika wabak Covid-19 melanda. Bayangkan kiranya tercetus Kluster Lawan ini dek kealpaan setiap individu yang turun ke jalanan hanya kerana terpengaruh dengan dakyah pembangkang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, perlakuan kumpulan itu umpama meremehkan usaha yang dilaksanakan oleh petugas-barisan hadapan ketika ini.
Shahir berkata, kesannya kes harian Covid-19 akan terus meningkat dan orang sekeliling mereka yang tidak berdosa mungkin menjadi mangsa virus bahaya berkenaan.
“Anak muda perlu bijak dalam membezakan yang mana permata dan yang mana kaca. Jangan ditipu berkali-kali dengan hasutan Pakatan Harapan.
“Sebelum menjadi kerajaan, mereka menaburkan pelbagai fitnah dan menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat Malaysia. Apabila menjadi kerajaan, segala janji tidak dilaksanakan kerana bukan kitab suci untuk dituruti.
“Contoh paling jelas, 1 juta peluang pekerjaan hanya janji kosong. Yang mendapat habuan adalah kroni mereka sendiri, NGO Youth Power Club melibatkan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Syed Saddiq,” katanya.
Sehubungan itu, DPIM bersama-sama kepimpinan Pemuda Perikatan Nasional (PN) menyeru semua pihak kekal fokus dan bersatu demi manfaat rakyat Malaysia.
“Ingatlah, taruhan percaturan politik pada waktu ini adalah nyawa-nyawa rakyat yang tidak berdosa. Berentaplah secara ‘gentleman’ pada PRU-15 nanti,” katanya.
Terdahulu, sekumpulan individu memakai baju hitam dilihat berkumpul berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, sejak jam 10 pagi tadi dipercayai bagi menyertai perhimpunan terbabit.
Mereka juga membawa bendera hitam, sepanduk menzahirkan protes dan replika jenazah.
Polis membuat kawalan keselamatan di sekitar kawasan berkenaan, selain menutup beberapa laluan menuju ke Dataran Merdeka, sejak pagi tadi. – Malaysiapost
