PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) minta siasatan dilakukan secara menyeluruh berhubung insiden runtuhan perancah besi di struktur pembinaan laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Bandar Bukit Tinggi, Klang hari ini.
Prasarana dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya telahpun mengarahkan kontraktornya, MRCB George Kent Sdn Bhd untuk melaksanakan perkara berkenaan dengan menyediakan laporan terperinci termasuk langkah bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang.
“Kami tegas bahawa aspek keselamatan adalah perkara paling penting dan memerlukan perhatian serta komitmen dari semua pihak yang terlibat bagi memastikan keselamatan di tempat kerja terus dijaga dan pihak kami akan mematuhi peraturan keselamatan pada setiap masa.
“Prasarana akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk melancarkan siasatan tersendiri mengenai perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan menyeluruh dapat dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, pihaknya menzahirkan kekesalan bagi pihak yang terlibat dan takziah kepada keluarga individu yang kehilangan nyawa akibat kejadian itu.
Kami mendoakan mereka yang cedera akan sembuh secepatnya dan akan memastikan kebajikan mereka dan keluarga diberi keutamaan ketika ini,” katanya.
Terdahulu, menerusi laporan media, kejadian jam 2.15 petang itu menyebabkan empat mangsa cedera, manakala seorang lelaki warga Bangladesh yang terperangkap di sebalik timbunan perancah meninggal dunia.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.41 petang, Khamis.
Mangsa yang tertimbus berjaya dikeluarkan pada jam 4.20 petang, namun disahkan telah meninggal dunia. – Malaysiapost
Artikel berkaitan
https://malaysiapost.com.my/2021/07/29/perancah-projek-lrt3-runtuh-seorang-maut/
