JAGUH badminton negara, Lee Zii Jia akan bertemu pemain China, Chen Long dalam pusingan 16 terbaik acara badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Musashino Forest Sport Plaza, hari ini.
Zii Jia, 23, menjuarai Kumpulan M selepas menewaskan pemain Perancis, Brice Leverdez, malam tadi dengan kemenangan 21-17, 21-5 dalam masa hanya 35 minit.
Pemain kelahiran Kedah yang kini berkedudukan ranking kelapan dunia itu, dijadualkan bertemu penyandang pingat emas acara badminton perseorangan lelaki Olimpik Rio 2016, Chen Long pada jam 6.15 petang ini.
Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pemain terikat 2-2 dengan pertemuan terakhir dimenangi Zii Jia 21-12, 21-18 di All England, Mac tahun lalu.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berharap pemain terbabit dapat meneruskan prestasi yang matang dan terus fokus pada perlawanan seterusnya.
“Lee Zii Jia berjaya mara ke Round 16! Alhamdulillah, perlawanan Zii Jia berakhir ‘all according to plan’ selepas berjaya menewaskan Brice Leverdez dari Perancis (Ranking ke-34 dunia) dengan straight set.
“Cabaran sebenar akan bermula pada perlawanan seterusnya apabila Zii Jia akan bertemu dengan Chen Long dari China, seorang atlet yang saya pasti ramai dari rakyat Malaysia kenali.
“Saya harap Zii Jia teruskan prestasi yang matang dan penuh fokus pada perlawanan seterusnya,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/Majlis Sukan Negara Malaysia

