Permohonan Ku Li tukar tempat duduk di Parlimen diterima Azhar

0
1

YANG di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan telah menerima surat daripada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah yang memohon untuk menukar tempat duduk di Parlimen berhampiran blok bebas.

Azhar Azizan dalam kenyataan berkata, beliau mengambil maklum keputusan Tengku Razaleigh dan telah mengarahkan Setiausaha Dewan Rakyat mengambil tindakan sewajarnya.

“Adalah dimaklumkan bahawa saya telah menerima surat daripada Ahli Parlimen Gua Musang, Yang Berhormat Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah bertarikh 26 Julai 2021 pada hari ini mengenai permohonan beliau untuk menukar tempat duduk sedia ada dalam Dewan Rakyat ke tempat baru berhampiran blok bebas.

“Selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat saya mengambil maklum keputusan Ahli Parlimen Gua Musang tersebut dan telah mengarahkan Setiausaha Dewan Rakyat mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Tengku Razaleigh memohon pertukaran tempat duduk di Dewan Rakyat kerana tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Veteran Umno itu telah menghantar surat permohonan berhubung perkara tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat, semalam.

“Dengan hormatnya suka saya maklumkan bahawa saya tidak ingin terus berada di kerusi yang disediakan dalam Dewan Rakyat bersama-sama dengan lain-lain angota Dewan Rakyat yang ditempatkan dalam kumpulan seolah-olah menjadi penyokong kerajaan yang ada.

“Dengan makluman ini saya mohon mendapat persetujuan dan kerjasama Tuan Yang di Pertua memindahkan tempat duduk saya ke suatu kerusi dalam Dewan Rakyat berhampiran dengan kumpulan (blok) Bebas yang tidak menyokong kerajaan sekarang ini,” tulisnya dalam surat itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here