Adham Baba diminta sediakan salinan teks di Dewan Rakyat

0
1

PEMBANGKANG tidak puas hati dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba kerana tidak menyediakan salinan dokumen kepada mereka di Dewan Rakyat, hari ini.

Sejurus Dr Adham selesai membaca teks penerangannya, beberapa Ahli Parlimen bangun meminta supaya Menteri Kesihatan menyediakan salinan dokumen penerangan itu dan diedarkan kepada mereka.

Terdahulu, Dr Adham telah berucap selama 45 minit pada sesi penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi sektor kesihatan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Fadzil bangkit menyuarakan perihal penerangan Dr Adham terlalu panjang dan banyak fakta.

“Yang Dipertua (Datuk Azhar Azizan Harun) boleh minta salinan tak sebab menteri baca panjang dan banyak fakta, lama sangat sehingga menteri pun lihat jam berkali-kali,” katanya

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah pula membangkitkan Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya memastikan amalan menyediakan salinan dokumen kepada Ahli Parlimen terlebih dahulu, dipraktikkan.

“Kita sudah mendengar penjelasan panjang daripada menteri, setakat ini kita belum terima salinan dokumen itu, sepatutnya amalan dalam dewan ini seperti ketika pentadbiran dahulu, salinan perlu disediakan di atas meja Ahli Parlimen.

“Amalan sama juga diamalkan di Westminster, itulah amalan digunakan walaupun untuk penerangan lima minit tetapi ini penerangan sampai 45 minit. Saya minta Yang Dipertua ambil perhatian perkara ini sebab ini bukan rahsia tetapi sudah dibaca,” katanya.

Bagaimanapun Azhar Azizan yang mendengar perkara dibangkitkan itu kemudiannya meminta Dr Adham supaya menyediakan salinan dokumen kepada semua Ahli Parlimen.

“(Menteri) boleh kita usaha perkara itu,” katanya sebelum dipersetujui Dr Adham. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here