Najamuddin Mohd Nor
[PARLIMEN] SESI bacaan Al-Fatihah dan bertafakur selama seminit untuk mangsa-mangsa korban Covid-19 diganggu oleh para Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat, hari ini.
Kejadian itu berlaku ketika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu memulakan pembentangan Pelan Pemulihan Negara (PPN), beliau menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa jangkitan Covid-19 yang meninggal dunia dan meminta Dewan Rakyat menyedekahkan bacaan Al-Fatihah dan bertafakur.
Namun, acara bertafakur itu diganggu beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat membantah penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyudin Hasan berhubung proklamasi darurat.
Dalam pada itu, mengulas lanjut berkenaan PPN, Muhyiddin memaklumkan PPN adalah pelan pemulihan yang memberi tumpuan kepada strategi untuk keluar daripada ancaman Covid-19 secara selamat dan sistematik.
Beliau berkata, fasa yang digariskan di bawah PPN adalah tertumpu kepada usaha meringankan beban ke atas kapasiti sistem kesihatan awam, membuka semula sektor ekonomi dan membenarkan aktiviti sosial dalam tempoh masa enam bulan sehingga akhir tahun ini.
“PPN tidak statik tetapi dinamik, komprehensif dan boleh ditambah baik mengikut keperluan dan situasi semasa dan mempunyai lima objektif utama.
“Objektif adalah melindungi sektor kesihatan awam dengan mengurus penularan wabak, mengurangkan kemasukan ke hospital dan meminumkan kadar kematian,memastikan sistem kesihatan yang mampan, melaksanakan vaksinasi secepat mungkin bagi melindungi rakyat,membuka semula ekonomi dan membenarkan aktiviti sosial secara berperingkat dengan kepatuhan SOP yang ketat dan esponsif dan fleksibel dalam mengadaptasi evolusi persekitaran,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan akan terus memantau keadaan di setiap negeri dengan rapi termasuk mengambil langkah intervensi mengikut keperluan.
Muhyiddin turut memberitahu bahawa kerajaan akan tetap melaksanakan penilaian risiko termasuk menilai kesediaan mana-mana negeri untuk beralih ke Fasa Kedua, Ketiga atau Keempat.
“InsyaAllah, dengan usaha berterusan untuk menggerakkan proses pemulihan dan program imunisasi yang sedang berjalan lancar, kita jangkakan kebanyakan negeri dapat beralih ke fasa keempat seawal bulan Oktober nanti,” katanya. – Malaysiapost

