Najamuddin Mohd Nor
SAYA ingin menyatakan majlis ini bukanlah sidang parlimen yang dititahkan oleh Raja-Raja Melayu dan Yang di Pertuan Agong, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir yang merupakan Ahli Parlimen Langkawi menyifatkan sidang Parlimen yang diadakan selama lima hari yang bermula hari ini adalah satu penipuan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Rakyat faham dan saya faham bahawa titah Raja-Raja dan Yang di Pertuan Agong supaya Parlimen diadakan secepat mungkin.
“Tetapi kerajaan mengambil masa yang amat panjang, dan cuba memperdayakan dunia bahawa taklimat yang diadakan di Parlimen adalah sidang Parlimen. Ini adalah satu penipuan, lebih-lebih lagi tekanan wabak Covid-19 dijadikan alasan untuk buat darurat tidak dibentangkan Dewan Rakyat.
Beliau berkata ketika meminta ‘point of order’ di Dewan Rakyat di awal pembukaan Mesyuarat Khas Parlimen, hari ini.
Pada masa sama bekas Perdana Menteri itu membidas Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah gagal menangani pandemik Covid-19 sebelum ianya dibahaskan di Dewan Rakyat.
Menurutnya, Dewan Rakyat tidak perlu mendengar taklimat PPN, sebaliknya perlu dibahas dan dibincang untuk mencari kaedah terbaik menangani pandemik Covid-19.
“Pelan ini sudah tentu tidak berkesan, sebelum pelan ini diumumkan jumlah 6,000 tetapi kini telah meningkat kepada 17,000.
“Kita tidak perlu pun majlis penerangan yang saya sebutkan ini kerana kita sudah pun baca pelan itu, dan pelan itu tidak berjaya.
“Penerangan seperti yang saya katakan tadi melainkan dengan cara mengeluarkan ‘white papper’,” katanya. – Malaysiapost

