Meja Pengarang
ESOK sudah pasti lensa negara tertumpu kepada Mesyuarat Khas Sidang Parlimen, selepas ia ditangguhkan susulan proklamasi Darurat sejak Januari lalu.
Ia merupakan Sidang Parlimen yang pertama tahun ini yang dijangka dihadiri 220 Ahli Parlimen.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.
Mesyuarat itu bagi mendengar penerangan menteri-menteri berkaitan dengan pengisytiharan darurat dan langkah-langkah kerajaan menangani Covid-19.
Justeru, buat pertama kali untuk tahun ini Ahli Parlimen akan berkumpul di bawah satu bumbung bagi mendengar penerangan, mengajukan soalan dan membahaskan beberapa perkara berkaitan.
Ia dilaksanakan secara bersemuka dengan kehadiran semua Ahli Parlimen di dalam dewan, tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Berdasarkan aturan mesyuarat yang sudah diedarkan kepada semua Ahli Parlimen, persidangan esok yang bermula jam 10 pagi, dimulai dengan sesi penerangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin diikuti empat menteri yang terbabit dalam pengurusan Covid-19.
Selepas Muhyiddin selesai menyampaikan penerangan berkenaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), ia diikuti sesi sama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang akan menerangkan tindakan negara menangani pandemik Covid-19.
Kemudian, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pula akan memberi penerangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), manakala Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz akan menyentuh mengenai pakej bantuan ekonomi.
Ia diikuti, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan memberi penerangan berkaitan pelaksanaan darurat.
Selesai sesi penerangan ringkas itu, semua Ahli Parlimen diberi peluang mencelah bagi meminta penjelasan dan memberi pandangan mengenai perkara dibangkitkan Perdana Menteri dan menteri, sebelum dijawab mereka.
Berdasarkan aturan mesyuarat itu juga, selesai sesi penerangan itu, pembentangan Proklamasi Darurat dan ordinan lain diperkenalkan sepanjang tempoh darurat turut dibentang esok.
Antaranya, Proklamasi Darurat yang melalui beberapa pindaannya, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 serta Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021.
Biarpun jaminan kehadiran diberi kepada semua Ahli Parlimen untuk berada di Parlimen, namun mereka perlu mematuhi SOP ketat antaranya menjaga penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dua lapis selain sudah memperoleh keputusan negatif bagi ujian saringan Covid-19.
SOP itu bukan saja tertakluk kepada mereka, malah diperluas membabitkan petugas Parlimen dan 72 pengamal media yang mewakili 15 agensi media tempatan.
Bagi melancarkan tugasan liputan pihak media, Parlimen akan memperkenal dan menyediakan kemudahan platform sidang media secara hibrid serta sesi temu bual interaktif secara eksklusif dengan ahli Dewan Rakyat melalui aplikasi Zoom.
Persidangan Khas Parlimen adalah mesyuarat yang diadakan ketika Majlis dalam tangguhan dan mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Peraturan 11 (3) urusan mesyuarat itu perlu ditetapkan Perdana Menteri dan pemberitahuan berkenaan urusan itu perlu dihantar kepada ahli tidak lewat dari masa diadakan mesyuarat itu.
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu juga berbeza dengan mesyuarat penggal biasa antaranya tanpa istiadat pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong, perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) dan sesi soal jawab lisan.
Namun, ada juga pihak yang menjangkakan sidang Dewan Rakyat esok agak panas walaupun tidak ada usul undi tidak percaya atau undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pastinya perhatian esok tertumpu terhadap sidang khas berkenaan kerana banyak isu dibincangkan sekali gus memberi ruang kepada Ahli Parlimen mencadangkan penambahbaikan kepada kerajaan.
Justeru, besar harapan rakyat sekiranya sidang khas ini berjalan dalam suasana ‘terkawal’ serta berperanan menjadi platform terbaik untuk kerajaan dan Ahli Parlimen berbincang untuk mencari solusi bersama mengeluarkan negara dalam krisis pandemik yang panjang ini.
Untuk kali ini bersolidaritilah semua pihak demi pemulihan negara. – Malaysiapost

