Pelajar UiTM cemerlang peringkat dunia peperiksaan perakaunan

0
1

SEORANG pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya meraih pencapaian tertinggi hingga ke peringkat dunia dalam peperiksaan program perakaunan profesional, baru-baru ini.

Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi, 21, menerima anugerah untuk dua kertas peperiksaan diambil iaitu ‘Financial Management’ (FM) dengan pencapaian tempat pertama di Malaysia dan dunia, manakala bagi ‘Strategic Business Reporting’ (SBR), beliau mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia.

Fakulti Perakaunan UiTM dalam kenyataan berkata, Hannah Mumtazah masih mempunyai tiga kertas peperiksaan sebelum menamatkan pengajian dan mendapat kelayakan The Association of Charted Certified Accounts (ACCA).

Menurut kenyataan itu, ini bukan kali pertama pelajar UiTM melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Walaupun berdepan cabaran pandemik Covid-19, Fakulti Perakaunan UiTM sentiasa komited dalam berusaha meningkatkan bilangan akauntan bertauliah di negara ini.

“Pihak fakulti serta UiTM berbangga dengan pencapaian pelajar di peringkat nasional dan antarabangsa. Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat buat pelajar lain untuk terus cemerlang,” menurut kenyataan itu.

Hannah Mumtazah yang bercita-cita menjadi akauntan bertauliah sebelum ini mengikuti program Jurusan Perakaunan Profesional (JPPro) sebelum menyambung pengajian di UiTM.

JPPro adalah program profesional yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM), UiTM dan ACCA Malaysia.

Melalui program ini, pelajar boleh terus mengikuti program ACCA tanpa perlu mengikuti program Certified Accounting Technician (CAT).

Hannah Mumtazah berkata, berkat sokongan padu semua pihak, disiplin dan kekuatan mental sepanjang belajar dalam talian mendorongnya untuk mencapai kejayaan itu.

“Pengurusan masa yang baik perlu dalam memastikan supaya sesi ulang kaji dapat diatur tanpa mengorbankan waktu untuk diri dan keluarga.

“Antara kunci kejayaan, konsistensi sepanjang semester serta berbincang bersama pensyarah dan rakan kuliah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here