Olimpik: Beregu campuran negara kempunan pingat

0
1

BURUAN pingat beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying di Sukan Olimpik Tokyo 2020 boleh dianggap sudah berakhir selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan peringkat kumpulan, sebentar tadi.

Peng Soon-Liu Ying yang turun dengan misi wajib menang bagi menghidupkan kembali peluang ke pusingan kalah mati selepas tewas aksi pembukaan semalam, terpaksa akur apabila tunduk di tangan pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich 12-21, 15-21 dalam saingan Kumpulan D di Musashino Forest Sport Plaza.

Peng Soon – Liu Ying yang memenangi pingat perak di Olimpik Rio 2016 lalu dilihat banyak melakukan kesilapan terutamanya pada set pertama hingga ketinggalan agak jauh dari segi kiraan mata kepada pasangan Jerman berkenaan sebelum tewas 12-21 dalam tempoh 18 minit.

Bagaimanapun, Peng Soon – Liu Ying yang juga pasangan ranking ke tujuh dunia itu dilihat mula mempamerkan kebangkitan pada set kedua untuk cuba mengheret perlawanan ke set penentuan.

Namun, beberapa kesilapan yang kerap dilakukan Peng Soon – Liu Ying, berjaya dimanfaatkan pasangan Jerman berkenaan untuk menang 21-15 dalam tempoh 21 minit.

Semalam, pasangan negara yang berada di kedudukan nombor tujuh dunia, tewas di tangan beregu Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

Esok, Peng Soon-Liu Ying akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang pasangan nombor tiga dunia dari China, Wang Yilyu-Huang Dong Ping. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here