Sidang Khas Parlimen umpama acara taklimat kerajaan – Tun M

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Persidangan Khas Parlimen yang diadakan selama lima hari mulai 26 Julai umpama acara taklimat kerajaan dalam Dewan Parlimen.

Dr Mahathir berkata, Persidangan Khas Parlimen itu juga sebenarnya tidak ada makna kerana tiada sesi pembentangan usul dan perbahasan dibenarkan seperti dalam aturan persidangan tersebut.

Katanya, pada persidangan kali ini, Ahli Parlimen hanya dibenarkan bertanya sahaja dan tidak boleh dibahaskan.

“Ini bukan Sidang Parlimen, ini adalah acara taklimat kerajaan dalam Dewan Parlimen,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, Persidangan Parlimen kali ini bukan nak tentukan lulus atau tidak lulus tetapi taklimat mengenai Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

“Sebaliknya, Persidangan Penuh Dewan Rakyat pada 6 September depan baru dianggap sebagai persidangan yang sebenarnya,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, D atuk Mohd Rashid Hasnon dilapor berkata, Ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang tidak akan dihalang jika mahu mengemukakan sebarang pertanyaan.

Katanya, pada persidangan itu tiada sebarang usul dan perbahasan, namun sekiranya ada cadangan atau pertanyaan boleh kemuka pada sesi soal jawab. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here