PENDAKWAH Ebit Lew, menjelaskan kejayaan misi bantuan kemanusiaannya menjadi pasukan pertama dalam dunia yang dibenar masuk ke Gaza melalui Pintu Rafah, Mesir selepas serangan Israel tahun ini, adalah hasil hubungan baik kerajaan Malaysia dan Mesir.
Beliau sekali gus menafikan dakwaan mengatakan pasukannya membayar sejumlah wang yang besar untuk masuk ke Gaza hingga menyukarkan badan bukan kerajaan (NGO) dari negara lain untuk masuk memberi bantuan.
Menurutnya, sebelum ini dunia mengetahui satu-satunya jalan masuk ke Gaza adalah bersama ‘Miles of Smiles’ dan beliau pada awalnya cuba menggunakan cara sama, namun gagal.
“Sebelum datang dah hubungi (Miles of Smiles) yang ada hubungan dengan pihak Tentera Mesir dan sebaik sampai saya dimaklumkan kena bayar USD10,000 atau kira-kira RM50,000 seorang untuk masuk ke Gaza.
“Tapi sebab mahal saya bagitau saya seorang sahaja kalau dapat masuk, namun proses itu gagal dan Allah SWT tunjukkan jalan lebih tepat iaitu melalui Kedutaan Malaysia di Mesir,” katanya dalam sidang media secara maya bagi menjawab pelbagai isu berhubung misinya ke Gaza, baru-baru ini.
Menurutnya, perkara paling utama untuk memasuki Gaza adalah mendapatkan dua kelulusan iaitu daripada Kerajaan Mesir dan kelulusan Tentera Mesir.
“Kedutaan Malaysia di Mesir bantu buat permohonan dan maklumkan kali pertama mereka uruskannya serta kali pertama diluluskan dan mereka juga tidak sangka kerana keadaan Gaza sedang berperang bukan boleh suka-suka masuk, tapi cuba juga memohon sebab niat nak ke Tanah Suci dan bantu rakyat Palestin.
“Berkat doa, solat hajat dan bantuan pihak kedutaan serta Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kami dapat kelulusan daripada kerajaan Mesir,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menjadikan hubungan Malaysia dan Mesir juga bertambah baik, namun kelulusan tentera masih belum diperoleh.
“Pasukan saya kemudian ke Kedutaan Malaysia di Mesir untuk maklumkan ingin pulang ke tanah air, pada masa sama kedutaan beritahu tiba-tiba kenalkan dengan ejen Perisikan Tentera Mesir untuk bantu kami.
“Kami dimaklumkan ada sebuah syarikat dilantik pihak kententeraan untuk membantu kami.. Alhamdulillah kami masuk dengan syarikat pelancongan namanya Lucky Tour,” katanya.
Ebit berkata, bayaran dikenakan adalah USD2500 atau kira-kira RM10,000 setiap seorang dan ia harga yang besar, tetapi mengambil kira risiko untuk masuk ke kawasan perang ia bayaran yang wajar.
“Sebenarnya saya dah buka jalan lebih mudah untuk semua yang ingin masuk ke Gaza dan sejak itu NGO pelbagai negara termasuk Miles of Smiles hubungi Kedutaan Malaysia di Mesir minta supaya membantu mereka masuk ke Gaza.
“Jadi saya tidak bayar jumlah yang tinggi hingga menyusahkan NGO lain untuk masuk ke Gaza, dakwaan itu penipu, fitnah, melampau dan zalim.
“Dah bantu mudahkan daripada RM50,000 satu kepala jadi RM10,000 satu kepala atas usaha Kedutaan Malaysia di Mesir,” katanya.
Beliau turut menegaskan segala perbelanjaan digunakan dalam misi berkenaan adalah daripada duitnya sendiri serta sumbangan rakan dan bukan daripada dana kutipan rakyat Malaysia. – Malaysiapost

