
KERAJAAN sedang memperhalusi cadangan supaya kelonggaran bertemu keluarga dapat dipertimbangkan bagi mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata ia bagi membolehkan pasangan dan keluarga jarak jauh disatukan semula.
Ismail Sabri berkata, melihat kepada komen-komen yang diberikan netizen di media sosial, beliau mendapati ramai yang menyuarakan keluhan pasangan jarak jauh atau ibu bapa yang terpisah dari anak-anak kerana larangan merentas negeri.
“Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia.
“Walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama. Lebih-lebih lagi jika ibu bapa berkenaan sudah pun menerima dua dos vaksin.
“Oleh sebab itu saya sering membawa isu ini dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya kelonggaran bertemu keluarga dapat dipertimbangkan bagi mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kelonggaran bagi individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Pemulihan Negara minggu ini.
Perdana Menteri berkata kelonggaran itu bagi memberi faedah atau keistimewaan kepada mereka yang telah lengkap dos vaksin mereka.
“Kita akan umumkan apakah kelonggaran kepada mereka yang dapat dua dos ini supaya mereka tidak terus ‘terikat’; perlu ada beberapa kelebihan (advantage) untuk mereka,” kata Muhyiddin.
Muhyiddin berkata kelonggaran itu mungkin termasuk pergerakan untuk membeli-belah, atau sekurang-kurangnya rentas daerah dan ia seiring dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi terutama di Lembah Klang pada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) nanti. – Malaysiapost
