SERAMAI 30 warga asing dan seorang wanita tempatan ditahan selepas menghadiri jamuan Aidiladha di sebuah rumah di Taman Selayang Utama, Batu Caves, semalam.
Kesemua mereka terdiri 29 lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat berkenaan jamuan di rumah berkenaan.
“Daripada 30 warga asing itu, empat mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala enam memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tamat tempoh dan 20 lagi tidak memiliki sebarang dokumen.
“Mereka didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan berkumpul dan gagal mengamalkan penjarakan fizikal, memiliki PLKS tamat tempoh dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut.
“Semua warga asing yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang bagi permohonan reman hari ini.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, wanita tempatan yang ditahan itu dikenakan kompaun RM4,000 di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. – Malaysiapost

