
SERAMAI 420 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu seramai 332 individu dikompaun, 82 direman manakala enam individu telah dijamin.
“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 68,921 pemeriksaan semalam.
“Ia melibatkan 3,989 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 18,351 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang PKP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, menerusi Op Benteng semalam, berjaya menangkap lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas sebuah kenderaan darat.
“Selain itu, seramai 15 PATI dan empat bot/kapal turut dikesan berada di perairan negara menerusi enam akitiviti penglihatan,” katanya. – Malaysiapost
