
SEMUA aspek pengurusan jenazah Covid-19 di Kuala Lumpur disepadukan menerusi Pusat Sehenti Pengurusan Jenazah (PSPJ), kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau yang juga Pengerusi Pusat Penyelarasan Dan Pengurusan Covid-19 Wilayah Persekutuan (CCMC-WP) berkata, ia membabitkan kemudahan memeriksa, mengurus, menyimpan dan mengkebumikan mayat.
“CCMC WP memutuskan agar kemudahan memeriksa, mengurus, menyimpan dan mengkebumikan mayat di WP KL disepadukan dengan mewujudkan Pusat Sehenti Pengurusan Jenazah.
“Kita bersetuju menggabungkan 15 agensi sebagai task force dan berpusat di HKL menggunakan kompleks ISN (Stadium TPCA),” katanya menerusi ciapan Twitter.
Beliau berkata, dengan adanya PSPJ, jenazah Covid-19 dan bukan Covid-19 diurus secara lebih efisyen kerana ia dipengerusikan secara bersama oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Jenazah Islam disemadikan di Perkuburan Taman Selaseh,dan bukan Islam menggunakan Crematorium DBKL di Cheras. JAWI dan pihak rumah ibadat berkaitan menjadi ahli task force,” katanya.
Dalam pada itu, Annuar berkata, kebajikan keluarga dan penghormatan terakhir yang terbaik menjadi keutamaan PSPJ.
“Ruang dan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai untuk keluarga turut solat jenazah disediakan.
“10 container tambahan ditempah sebagai persiapan jika berlaku lonjakan kes kematian. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan,” tulisnya.
Baru-baru ini, Malaysiapost melaporkan, suasana di pekarangan Jabatan Forensik HKL sesak dengan van jenazah kelihatan keluar masuk silih berganti.
Tinjauan Malaysiapost mendapati keluarga waris jenazah pesakit Covid-19 turut berkumpul untuk memberi penghormatan kepada ahli keluarga mereka yang telah tiada.
Ahad lalu, negara merekodkan kes kematian tertinggi akibat Covid-19 hari ini, iaitu 153 pesakit. – Malaysiapost
