KDN arah Ketua Polis Pulau Pinang beri penjelasan segera

0
1
Datuk Seri Hamzah Zainudin

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) meminta Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain memberikan laporan dan penjelasan terperinci susulan kejadian ratusan warga asing menunaikan solat Aidiladha di Juru hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, laporan dan penjelasan itu berkaitan penugasan anggota polis di negeri itu yang dipertanggungjawabkan untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa perayaan Aidiladha.

Katanya, laporan itu perlu diberi dalam kadar segera berikutan penularan video pelanggaran SOP solat sunat Aidiladha itu.

“KDN memberikan jaminan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit menganjurkan majlis berkenaan.

“Selain itu KDN turut mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mengambil tindakan pengusiran di bawah Akta Imigresen 1958/63 sekiranya ia membabitkan pembabitan warga asing.

“Sementara siasatan dimuktamadkan, KDN menyeru orang awam untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman yang boleh mendatangkan ketidaktenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohd Shuhaily berkata, siasatan awal polis mendapati warga asing berkenaan berbuat demikian selepas mereka tidak dibenarkan solat di dalam surau memandangkan jumlah jemaah dihadkan hanya 100 orang.

Menurutnya, surau berkenaan dibanjiri jemaah untuk datang menunaikan solat sunat Aidiladha, namun hanya 100 orang saja yang dibenarkan masuk bagi mematuhi SOP ditetapkan.

Hari ini tular video berdurasi 22 saat memaparkan ratusan warga asing yang menunaikan solat sunat Aidiladha di jalan raya di luar pekarangan surau berkenaan.

Video yang dirakam oleh orang awam itu memaparkan kesemua warga asing terbabit solat dalam keadaan penjarakan fizikal, namun ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan negara kini sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here