
SEMUA pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan swasta di Selangor serta Kuala Lumpur beroperasi seperti biasa pada Hari Raya Aidiladha, Selasa ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata PPV tersebut akan beroperasi dengan kapasiti maksimum bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya satu dos vaksin kepada penduduk Lembah Klang sebelum Ogos.
“Malah masa operasi turut dilanjutkan bagi mencapai sasaran tersebut selain turut dibuka pada Sabtu dan Ahad.
“Waktu operasi juga dilanjutkan kepada pukul 7 malam untuk PPV awam dan 9 malam untuk PPV swasta,” katanya selepas melawat PPV Integrasi di Dewan Taman Nusantara, Johor Bahru hari ini.
Dr Adham berkata, sebanyak tujuh PPV Integrasi di Johor Bahru, Kluang dan Iskandar Puteri akan mula beroperasi di Johor mulai hari ini.
Terdahulu, dalam satu kenyataan beliau memaklumkan jumlah pemberian vaksin Covid-19 di Malaysia setakat ini ialah 14,002,324 dos dengan pemberian 380,440 dos dilaporkan semalam.
Menurut Dr Adham, jumlah penerima dos pertama ialah 9,570,974 individu dan daripada jumlah itu, 4,431,350 individu telah meneroma dos kedua.
Secara keseluruhan, rangkuman Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan jumlah tertinggi pemberian vaksin dengan 3,752,686 dos pertama dan 1,181,173 dos kedua. – Malaysiapost
