Ingkar SOP: Polis akan serah kompaun kepada MB Kedah

0
1

POLIS Pulau Pinang mengesahkan menerima arahan untuk mengeluarkan kompaun terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ia susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu didakwa memandu uji kenderaan pacuan empat roda di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Pulau Pinang, awal bulan lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata arahan itu akan disampaikan kepada pejabat Menteri Besar Kedah dalam masa terdekat, lapor Berita Harian.

“Maklumat lanjut akan diberikan selepas arahan dipanjangkan kepada Menteri Besar.

“Kenyataan rasmi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) akan dikeluarkan selepas proses penyerahan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya semalam.

Jumlah kompaun yang akan dikenakan ke atas Muhammad Sanusi tidak didedahkan setakat ini.

Sebelum ini, kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here