
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan segera menambah seramai 1,160 petugas kesihatan di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan bagi menangani kes Covid-19.
Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, berkata pihaknya telah turun padang mendapatkan maklumat secara lebih dekat berkaitan keperluan logistik dan kewangan dalam menangani wabak itu.
“Berhubung sumber manusia memang ada keperluan untuk dipertingkatkan dan dalam hal ini kita akan menambah segera sejumlah 1,160 petugas kesihatan di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Kita juga telah memobilisasikan seramai 417 petugas kesihatan dari negeri lain ke Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, KKM juga akan menambah 5,000 petugas iaitu pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai perubatan dan sebagainya untuk menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Sementara itu, beliau berkata KKM telah memohon kepada Kementerian Kewangan untuk mendapatkan peruntukan tambahan RM1.2 bilion bagi menampung keperluan dalam membendung Covid-19.
“Setakat ini KKM membelanjakan lebih RM700 juta di seluruh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan semua perbelanjaan ini banyak dilaksanakan secara darurat memandangkan kepentingan untuk bertindak segera dan bukannya melalui cara biasa,” katanya.
Beliau berkata, selain peruntukan tambahan RM100 juta bagi penyumberluaran dan RM20 juta bagi pengurusan kesihatan mental yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, KKM akan menambah peruntukan bagi aktiviti kelengkapan wad, penambahan ruang hospital dan bayaran elaun Covid-19 bagi kakitangan kesihatan.
“Kita juga telah memohon bagi penyediaan taska bagi menempatkan anak-anak petugas sebagai suntikan moral dengan membabitkan peruntukan RM1.5 juta.
“Bagi petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban, kita turut memohon peruntukan RM2 juta untuk Pusat Kuarantin Khas dan sebagainya. Insya-Allah kita akan dapatkan demi membendung Covid-19 ini,” katanya. – Malaysiapost
