SEBUAH kontena beku untuk kegunaan penyimpanan mayat pesakit Covid-19 disumbangkan kepada Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang.
Sumbangan itu adalah inisiatif Pemuda Umno Bahagian Kota Raja bersama Pertubuhan Integrasi Nasional susulan situasi meruncing di hospital berkenaan ketika ini.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Raja Sheikh Weshal Sheikh Ahmad, berkata kontena itu mampu menyimpan 100 mayat dalam sesuatu masa.
“Saya mengambil inisiatif ini setelah melihat pusat simpanan mayat pesakit covid di hospital berkenaan yang semakin kekurangan ruang bagi mengisi mayat-mayat pesakit covid dan setelah melihat sendiri apa yang sedang terjadi malam tadi.
“Bagi tidak memanjangkan hal tersebut, tanpa berfikir panjang, saya terus mendapatkan kontena sejuk beku yang boleh memuatkan hampir 100 mayat dalam satu-satu masa dan menghantarnya ke bahagian kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sheikh Weshal menambah, sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan pihak hospital susulan peningkatan kes postifi Covid-19 dan kematian yang mendadak sejak akhir-akhir ini.
Katanya, ini dapat mengelakkan mayat-mayat yang semakin banyak berbau busuk.
“Oleh yang demikian, saya tergerak hati datang membantu walaupun ada sedikit salah faham bersama pihak hospital.
“Apapun, saya berterima kasih kepada pihak Pengarah Hospital Klang dan pegawai kerana sudi menerima sumbangan kami, Pemuda Kota Raja dan Selangor,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sheikh Weshal berkata, pihaknya menyeru kerajaan negeri dan pusat dapat menghentikan kilang-kilang daripada terus beroperasi di Selangor
“Kami harap agar kerajaan negeri dan Malaysia dapat segera menangani kes covid terutamanya di Selangor ini dengan sebaiknya dan meminta agar dihentikan serta merta pengoperasian kilang-kilang buat sementara waktu.
“Nyawa manusia lebih berharga berbanding masalah lainnya. Tolonglah tangani isu ini dengan berkesan. Kami amat bersimpati dengan kepenatan dan tekanan yang dialami para barisan hadapan,” katanya. – Malaysiapost

