Tiada ujian klinikal buktikan Ivermectin dapat rawat Covid-19

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) hanya membenarkan penggunaan Ivermectin secara ‘off-label’ iaitu penggunaan di luar indikasi yang diluluskan, termasuk dengan pemantauan rapi doktor bertauliah.

Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan tiada ujian klinikal membuktikan Ivermectin dapat merawat Covid-19.

“Setakat ini, hasil kajian klinikal tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa Ivermectin boleh merawat atau mencegah Covid-19. Hanya vaksin terbukti untuk mencegah Covid-19.

“Kesan sampingan Ivermectin termasuk ruam kulit yang teruk yang mungkin memerlukan rawatan di hospital, mual, muntah, cirit-birit, sakit perut, bengkak di muka atau anggota badan lain.

“Kesan sampingan saraf seperti pening, sawan atau kekeliruan, penurunan tekanan darah secara tiba-tiba dan kerosakan hati,” menurut KKM menerusi ciapan di Twitter.

Penggunaan secara ‘off label’ merujuk kepada penggunaan ubat di luar tertera dalam label dan belum atau di luar persetujuan badan atau lembaga bertanggungjawab.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Pusat Kajian, Inovasi dan Pembangunan (IRDI) Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof Dr Azizi Ayob, berkata KKM harus diberi ruang membuat penyelidikan dan melengkapkan kajian klinikal supaya maklumat keberkesanan dan keselamatan ubat berkenaan dapat dikenal pasti.

“Indikasi sebenar ubat ini ialah sebagai anti-helmint (ubat cacing parasit) termasuklah onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthoases.

“Justeru, mana-mana dakwaan atau indikasi baharu perlu diuji semula secara kajian klinikal dengan mengambil kira kenapa ia perlu diuji berdasarkan penemuan baharu praklinikal.

“Saya tidak menghalang penggunaan Ivermectin namun secara ‘off label’ buat sementara.

“Pada masa sama, KKM terus menjalankan kajian sehingga mendapat data lebih sempurna untuk menyokong cadangan penggunaan ubat ini,” katanya dipetik Berita Harian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here