“Tindakan Umno bukan pelik atau tidak bertanggungjawab” – Khaled Nordin

0
1

PENUKARAN pemimpin dalam tempoh krisis bukanlah sesuatu yang pelik dan tidak bertanggungjawab, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, perkara itu tidak pelik, terdapat banyak situasi di seluruh dunia yang menunjukkan bahawa menukar pemimpin ketika krisis adalah wajar.

“Malah perlu setelah seseorang pemimpin itu sudah lemas dan gagal untuk terus mengemudi keadaan dengan lancar dan meyakinkan.

“Januari lalu, Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte terpaksa meletak jawatan setelah parti Italia Viva yang diketuai oleh Matteo Renzi keluar dari pakatan kerajaannya akibat kegagalan beliau menguruskan pandemik Covid-19.

“Selain menyaksikan kegawatan ekonomi terburuk selepas Perang Dunia Ke-2, Itali pada ketika itu merekodkan 86 ribu kematian dan merupakan negara dengan jumlah kes ke-2 tertinggi di Eropah dan ke-6 tertinggi di dunia.

“Pada Ogos tahun lalu pula, Menteri Kesihatan Poland dan Menteri Luar negara tersebut meletak jawatan setelah dikecam teruk atas kegagalan menguruskan pandemik ini.

“Keadaan yang sama dilihat di Slovakia pada Mac 2021 apabila Presiden Zuzana Caputova telah menggantikan Perdana Menterinya, Igor Matovic dan menaikkan Menteri Kewangan, Edward Heger sebagai pengganti apabila negara tersebut merekodkan kadar kematian akibat Covid-19 antara tertinggi di dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai keputusan Umno menarik sokongan ke atas Perdana Menteri Tan Sri Muyiddin Yassin tempoh hari, Mohamed Khaled berkata, pastinya tercetus reaksi yang pelbagai dan bercampur aduk.

“Ada yang bersetuju. Tidak kurang yang mengecam. Namun, tidak ada pihak yang menafikan bahawa 7 kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) / Perdana Menteri yang disenaraikan Umno sebagai asas untuk menarik diri tersebut adalah hakikat yang jelas.

“Kegagalan-kegagalan tersebut bukan sahaja fakta yang kritikal, malah sesuatu yang sebenarnya dapat dielakkan sekiranya Perdana Menteri / PN bertindak pantas serta bersedia mempertimbangkan beberapa saranan Umno,” katanya.

Mohamed Khaled menambah, kegagalan untuk meredakan krisis dan mewujudkan keyakinan dalam kalangan masyarakat adalah bukti kelemahan seseorang pemimpin.

“Lee Iacocca dalam Where Have All The Leaders Gone? menyenaraikan yang salah satu ukuran pemimpin yang baik adalah keupayaan untuk menguruskan krisis.

“Semoga selepas ini, sesiapa sahaja yang diangkat atau menawarkan diri untuk mengemudi negara akan memberikan komitmen dengan keseriusan yang jauh lebih meyakinkan.

“Menguruskan pandemik kesihatan dan kegawatan ekonomi yang mempunyai kesan domino di peringkat global bukan satu amanah kecil. Hanya mereka yang berjiwa besar harus digalaskan dengan tanggungjawab ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here