SEBUAH kedai menjual durian di Taman Industri Bolton, Batu Caves Selangor dikompaun RM10,000 kerana gagal memastikan kapasiti pekerja mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menerima maklumat awam sekitar jam 4 petang semalam yang mendakwa kedai menjual durian tersebut beroperasi dengan tidak mematuhi SOP.
“Bertindak atas maklumat, Pasukan Khas Operasi Pematuhan telah membuat pemeriksaan dan mendapati kedai itu mempunyai surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana terlibat dengan perkhidmatan produk makanan dan minuman untuk beroperasi.
“Namun begitu, jumlah pekerja yang bekerja di kedai tersebut didapati melebihi kapasiti yang telah ditetapkan oleh MKN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kompaun dikeluarkan terhadap majikan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Terdahulu, tular gambar memaparkan orang ramai menyerbu sebuah kedai menjual durian di Taman Industri Bolton, Batu Caves sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai yang turut mempersoalkan pelanggaran SOP. – Malaysiapost

