GPS sokong Muhyiddin terajui negara

0
2

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) kekal memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepemimpinan negara.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata keputusan itu dicapai sebulat suara pada mesyuarat Majlis Tertinggi GPS, hari ini.

“Mesyuarat hari ini diadakan khusus untuk membincangkan situasi politik semasa khususnya yang sedang berlaku di Kuala Lumpur.

“Hasil mesyuarat itu, semua komponen GPS mencapai kata sepakat untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Muhyiddin,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat itu di Ibu Pejabat PBB, hari ini.

Rabu lalu, mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Selaras keputusan berkenaan, Umno menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh terhad bagi menguruskan hal pandemik Covid-19 dan bantuan kepada rakyat.

Abang Johari berkata, pada mesyuarat itu GPS turut berpendirian, sekarang bukan masa sesuai untuk berpolitik kerana ia boleh menggugat kestabilan.

“Sekarang masa bagi semua rakyat bersatu bagi membawa negara keluar daripada krisis pandemik Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here