KEPUTUSAN ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno kelmarin disifatkan sebagai strategi untuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ‘kluster mahkamah’ merampas kuasa kerajaan melalui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tokoh Wartawan Veteran, Datuk A Kadir Jasin, berkata mereka mahu menyingkirkanTan Sri Muhyiddin Yassin dengan harapan Umno boleh merampas kerajaan.
Katanya, bagi ahli-ahli Parlimen Umno pula, kerusi Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah terlalu empuk untuk dikorbankan.
“Hasil hipokrisi dan penyundalan politik ekstrem oleh pemimpin-pemimpin atasan Umno ini, Muhyiddin kekal Perdana Menteri walaupun MKT Umno sendiri mahu dia meletakkan jawatan.
“Slogan mereka adalah “demi diriku, anak biniku dan konco-koncoku”. Demi agama, bangsa dan negara adalah klise.
“Buat masa ini, tidak siapa tahu kedudukan sebebar sokongan Ahli Parlimen terhadapnya. Kita tidak tahu sama ada kerajaan yang ada sekarang halal, haram, harus, sunat atau makruh. Wallahuaklam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
A Kadir berkata, ia adalah mainan politik ‘kluster mahkamah’ Umno dalam percubaan menyelamatkan diri dengan menggunakan kluster-kluster lain yang tidak bermasalah dan yang boleh diterima oleh Muhyiddin serta penyokongnya.
Beliau berkata, buat masa ini Muhyiddin nampaknya masih berpegang kepada pendirian tidak campur tangan dalam perbicaraan jenayah pemimpin-pemimpin Umno.
“Justeru, ini memaksa kluster mahkamah berjinak-jinak dengan Ketua Pembangkang, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dengan harapan dia lebih sedia bertolak ansur jika berjaya menjadi Perdana Menteri walaupun Perhimpunan Agung Umno Mac lalu memutuskan “no Bersatu, no Anwar, no DAP”,” katanya.
Mengulas lanjut, A Kadir berkata, keputusan MKT Umno semalam yang mengumumkan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan mendesaknya meletakkan jawatan Perdana Menteri sebagai sesuatu yang memang sukar difahami.
Beliau berkata, lebih pelik apabila Umno pada masa sama tidak arah Menteri dan Timbalan Menterinya keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Ismail Sabri siap mengeluarkan kenyataan media bagi mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid kerana merestui pelantikannya. Kalau bukan gila, apa lagi?
“Kemudian Setiausaha Agung Umno, (Datuk Seri) Ahmad Maslan menaikkan tahap kegilaan ini dengan mengumumkan yang Ahli Parlimen Umno boleh menggunakan budi bicara apabila berlaku pengundian di Dewan Rakyat. Dia kata itu adalah keputusan mesyuarat MKT Rabu lepas.
“Malah, Ahmad Zahid sendiri merestui pelantikan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan oleh Muhyiddin,” katanya.
Dalam pada itu, A Kadir berkata, mana-mana orang siuman yang mengikuti perkembangan politik semasa tidak akan faham sebab politik yang sedang dimainkan sekarang bukanlah politik orang siuman.
“Sesiapa yang mengikuti perkembangan politik sekarang akan berasa keliru, nasihat saya jangan sampai tertekan atau hilang punca. Tak berbaloi.
“Ia adalah politik orang yang menjadi tidak siuman kerana gila pangkat, takut masuk penjara dan tidak mahu disiasat apabila hilang kuasa,” katanya.
Semalam, Mesyuarat MKT Umno memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Muhyiddin , berkuat kuasa serta-merta.
Selaras keputusan itu, Umno menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik Covid-19 dan bantuan kepada rakyat.
Ahmad Zahid menjelaskan keputusan itu dipersetujui bersama dalam MKT selepas Umno mendapati Muhyiddin gagal, terutama dalam mengurus ekonomi negara, pandemik Covid-19 dan bantuan kepada rakyat. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

