PADA 8 dan 9 Julai 2020 iaitu setahun yang lalu, Malaysia mencatatkan sifar kes penularan tempatan dan hanya sembilan kes import dilaporkan dalam kedua-dua hari berkenaan.
Namun hari ini, Malaysia mencipta rekod baharu jangkitan Covid-19 apabila mencatatkan 9,180 kes baharu, iaitu tertinggi pernah dilaporkan sejak wabak Covid-19 melanda negara.
Semalam pula Malaysia mencatatkan 8,868 kes, iaitu ketiga tertinggi pernah dilaporkan.
Untuk rekod, seluruh negara telah melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau Total Lockdown sejak 1 Jun lalu.
Manakala sebahagian mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 3 Julai lalu.
Namun kes harian terus melonjak menjadikan keseluruhan kes dalam negara kini 817,838.
Berdasarkan data dikongsi di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, Selangor turut memecah rekod apabila mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 4,400 kes.
Ia mengatasi rekod tertinggi sebelum iaitu 4,152 yang dicatatkan semalam.
Kuala Lumpur pula mencatatkan 1,271 kes, Negeri Sembilan (899), Kedah (417), Sarawak (406), Sabah (323) dan Johor (315).
Perak pula mencatatkan 241 kes, dikuti Melaka (222), Pahang (214), Kelantan (151), Pulau Pinang (142), Terengganu (82), Labuan(80), Putrajaya (16) serta satu kes di Perlis. – Malaysiapost

