KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kesal dengan tindakan biadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, Ronie Liu yang melakukan provokasi dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas baru-baru ini.
Presidennya, Adnan Mat berkata tindakan Ronnie Liu hanya mencerminkan jati dirinya yang jelas melanggar prinsip kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan yang terkandung dalam Rukun Negara.
Beliau berkata, sekiranya tindakan wakil rakyat itu dilakukan hanya kerana mahu bermain politik, ia sepatutnya tidak melibatkan penjawat awam yang hanya mahu melaksanakan tugas dengan baik serta terkawal.
“Tindakan Ronnie Liu yang mengeluarkan kata-kata provokasi terhadap pegawai polis bertugas seperti “Pangkat apa? Balai mana? Apasal jahat sangat? Siapa You?” jelas menunjukkan beliau tidak menghormati undang-undang dan penjawat awam yang bertugas.
“Sepatutnya beliau tidak perlu bertanyakan pangkat dan di mana pegawai polis tersebut bertugas. Adakah Ronnie Liu hanya akan mendengar arahan daripada pegawai yang berpangkat tinggi sahaja?
“Dalam hal ini Cuepacs ingin mempersoalkan siapakah Ronnie Liu dan apakah kepentingan beliau sehingga sanggup bertindak biadap sedemikian rupa.
“Sebagai ahli politik yang berpengalaman beliau sepatutnya lebih bijak mengawal emosi dan sedar dengan akan kesan bagi setiap tindakan yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan menegaskan perbuatan sengaja mencetuskan provokasi kepada penjawat awam patut dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran kepada semua pihak, apatah lagi jika melibatkan pemimpin masyarakat seperti yang bertindak di luar norma kebiasaan.
Jelasnya, tindakan membuat provokasi kepada penjawat awam suatu budaya yang tidak sihat dan memberi teladan kurang baik kepada masyarakat umum.
Sebelum ini, tular video berdurasi 2 minit 39 saat memaparkan tindakan Ronnie Liu tidak berpuas hati dengan arahan seorang pegawai polis yang memintanya beredar.
Ronnie juga mempersoalkan pangkat pegawai polis tersebut kerana mengeluarkan arahan kepadanya.
Sementara itu, Adnan mengucapkan tahniah kepada pegawai polis yang terbabit kerana berjaya mengawal situasi walaupun menerima provokasi.
“Cuepacs sentiasa memberikan sokongan kepada penjawat awam bagi memastikan mereka melaksanakan tugas tanpa rasa gentar selagi mana ia tidak menyalahi peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya. – Malaysiapost

