PBS sokong pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin

0
1

PARTI Bersatu Sabah (PBS) menyokong penuh pelantikan Datuk Sri Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri.

Sambil menyifatkan keputusan itu tepat dan wajar, Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata rombakan kecil dalam Kabinet itu akan mengukuhkan lagi kerajaan dan barisan Kabinet Perikatan Nasional (PN).

“Pelantikan Timbalan Perdana Menteri yang baharu ini bukan sahaja tepat pada masanya, tapi juga tindakan yang sewajarnya, khusus dalam memenuhi keperluan negara.

“Beliau (Ismail) adalah pemimpin yang tepat untuk tugasan tersebut setelah menunjukkan prestasi yang sangat baik tahun sebelumnya.

“Beliau juga telah menjalankan tugasan baik sebagai menteri kanan, terutama dalam mengawal dan menangani situasi Covid-19 di negara ini,” kata Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Selain itu, Ongkili berkata PBS juga yakin Hishammuddin akan menjalankan tugasnya dengan baik sebagai menteri kanan mengetuai kluster keselamatan.

“Pelantikan baharu ini juga akan mengukuhkan lagi kestabilan kerajaan PN, dan PBS akan terus bekerjasama rapat dengan kepimpinan di peringkat negeri dan persekutuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here