Tiada notis mesyuarat MKT semalam – Asyraf Wajdi

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan desas desus bahawa wujud gerakan dalam pucuk pimpinan Umno untuk membuat ketetapan menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau memetik berita yang tersebar menyatakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bermesyuarat malam tadi dan membuat keputusan menarik sokongan daripada kerajaan PN.

“Banyak betul berita fitnah malam ini termasuklah menggambarkan Majlis Kerja Tertinggi bermesyuarat malam ini (semalam) dan buat ketetapan menarik diri dari Kerajaan PN,” katanya dalam hantaran Facebook.

Asyraf Wajdi menegaskan sehingga kini tiada sebarang notis pengumuman berkaitan mesyuarat yang dikeluarkan.

Katanya, jika ada mesyuarat diumumkan ianya hanya mesyuarat bulanan MKT yang pastinya dilakukan secara maya berikutan kini Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sedang berjalan.

“Selaku Ketua Pemuda Umno saya tegaskan belum ada sebarang notis mesyuarat dikeluarkan. Kalau adapun mesyuarat bulanan MKT untuk bulan Julai ini saya pasti tiada mesyuarat secara fizikal kerana PKPD dan hanya melalui online.

“Pelik juga, kenapa ada yang begitu menggelabah hingga keluar macam-macam cerita ya?,” ujarnya.

Semalam, pucuk pimpinan Umno dilaporkan sedang mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen mereka di Kuala Lumpur ketika spekulasi bertiup kencang berhubung tindakan parti itu bakal menentukan masa sesuai untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN

Memetik sumber dalaman Umno, pertemuan itu berlangsung di Wisma Perwira yang merupakan sebuah bangunan dimiliki tentera.

Pertemuan kali ini mirip pada pertemuan minggu lalu di Jalan Bellamy, namun yang membezakannya adalah kehadiran Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada malam ini.

Sebelum ini, Umno telah memberikan tempoh 14 hari kepada kerajaan PN untuk membuka semula parlimen selepas digantung atas alasan darurat.

Susulan itu, semalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah mengeluarkan kenyataan pada tengah hari bahawa parlimen akan bersidang pada 26 Julai ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here