PEMUDA PAS hari ini menuntut Veteran DAP Lim Kit Siang membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya menghina Islam dalam tempoh 24 jam.
Ketua Pemudanya, Khairil Nizam Khirudin berkata, keceluparan Kit Siang tidak boleh dibiarkan berterusan dan PAS menuntut permohonan maaf ini dilakukan segera demi menjaga keharmonian negara.
“Sekiranya gagal, satu laporan polis akan dibuat besar-besaran atas provokasi dan penghinaan kepada umat Islam.
“Bukanlah sesuatu yang pelik bagi pemimpin parti seangkatan dengan Lim Kit Siang menghina Islam dan Allah.
“Sekiranya kebiadaban ini dibiar berterusan, keamanan dan keharmonian negara akan terus tergugat akibat mulut lancang dan penghinaan golongan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Khairil Nizam berkata, PAS memberi amaran kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu supaya tidak bersikap kurang ajar dan memutar belit maksud Kerajaan Allah yang ditulis oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Semua orang Islam mengetahui, maksud ‘kerajaan Allah’ yang ditulis oleh Presiden PAS adalah kekuasaan Allah, bukan merujuk kepada mana-mana kerajaan di dunia, bahkan Malaysia, baik kerajaan Perikatan Nasional apatah lagi kerajaan gagal Pakatan Harapan.
“Lim Kit Siang bukan sahaja salah dan memutar belitkan maksud perkataan tersebut, malah beliau bertindak menghina ‘Kerajaan Allah’ sebagai kerajaan gagal dalam melawan pandemik. Sudahlah memutar belit, menghina pula,” katanya.
Baru-baru ini Kit Siang di laman blognya didakwa menulis: “If ‘Allah’s government’ is the best form of government in Covid-19 Pandemic, why Malaysia is the last in the Economist’s global normalcy index losing out to Hong Kong, New Zealand, South Korea, China, Japan, Russia, Thailand, Singapore, Vietnam and Taiwan none of which can claim to be “Allah’s government”.
Tulisan Veteran DAP itu adalah respons kepada kenyataan Abdul Hadi mengenai “Kerajaan Allah”. – Malaysiapost

