Patut bersidang 20 hari – Ahmad Maslan

0
1
ahmad maslan

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berpendapat sidang khas Parlimen yang dijadual bermula 26 Julai ini wajar diadakan sekurang-kurangnya 20 hari.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, ia bagi membolehkan perbahasan berhubung banyak perkara dapat dilakukan dan bukan setakat dibentangkan sahaja.

“Sidang Parlimen, tiga pandangan saya iaitu wajar paling kurang beri 20 hari, untuk bahas banyak perkara tentang Covid-19 dan RMK-12 (Rancangan Malaysia ke-12).

“Ordinan-ordinan Darurat wajar dibahas bukan hanya dibentang, atau cuma diletak atas meja.

“Sidang secara bersemuka bukan hibrid sebab Ahli Parlimen dan sebahagian staf sudah divaksinasi,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.

Beliau memberi pandangan itu susulan persetujuan kerajaan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021 bagi Dewan Rakyat.

Keputusan itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini yang turut memaklumkan bagi Dewan Negara pula akan diadakan selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos 2021.

Mesyuarat ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Kenyataan itu juga memaklumkan, mesyuarat akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here